18 Disember 2024 |
Naib Canselor UniMAP Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli menerima kunjungan delegasi dari Universitas Sangga Buana (USB), diketuai Rektornya, Dr. H. Didin Saepudin, di Pejabat Naib Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra. Dalam majlis ini, Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniMAP dan USB dimeterai, menandakan komitmen bersama dalam memperkukuhkan hubungan akademik dan penyelidikan. Turut hadir menyaksikan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Dato’ Sri Sufri Hj. Mhd Zin, dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail. Kerjasama UniMAP-USB bermula sejak 2023 melalui pelantikan pensyarah UniMAP sebagai pensyarah pelawat di USB dan penyampaian syarahan. Pada Oktober 2023, kerjasama ini diperkukuh apabila seorang pensyarah UniMAP dilantik sebagai Keynote Speaker dalam 5th SoBAT 2023 di Bandung, yang turut menyaksikan pembentangan kertas kerja oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK). Kerjasama diteruskan dengan penganjuran 4th ICSET2024 di Bandung pada Julai 2024 serta program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) bertemakan STEM di Sekolah Tinggi Bakti Asih, Bandung, melibatkan sembilan pensyarah UniMAP. MoU ini menjadi simbol komitmen untuk memperluaskan peluang strategik seperti mobiliti pelajar dan staf, kerjasama penyelidikan, dan perkongsian teknologi TVET, memberi manfaat besar kepada pelajar, staf, dan masyarakat serantau.